Festival Permainan Malaysia di Dataran Merdeka pada 23 September ini
KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 pengunjung dijangka menghadiri Festival Permainan Malaysia@Kuala Lumpur 2022 (FPM@KL 2022) yang bakal diadakan pada 23 sehingga 25 September ini di Dataran Merdeka, di sini.
Festival itu dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menerusi JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop, berkata acara tahunan yang masuk tahun ke tujuh itu adalah antara program di bawah Kalendar Pelancongan Budaya bagi mengetengahkan keunikan seni budaya negeri.
Katanya, ia berkonsepkan festival membabitkan pelbagai aktiviti dan pengisian seperti pertandingan permainan tradisional, permainan interaktif, pameran, demonstrasi, persembahan serta jualan.
"Selain bertujuan menyemarakkan permainan tradisional dan sukan rakyat pelbagai kaum di Malaysia, festival ini juga diharap dapat mengangkat dan memulihara keunikan kesenian serta kepelbagaian warisan tradisi rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media FPM@KL 2022 di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di sini, hari ini.
Mesran berkata, seramai 1,368 peserta terdiri daripada badan beruniform dan sektor korporat akan menyertai festival itu dalam 10 pertandingan permainan tradisional.
Katanya, pertandingan itu termasuk tarik tali tradisional, galah panjang, congkak, batu seremban, sepak raga ratus, bola sepak kain pelikat, dam haji, terompah gergasi, menyumpit dan memanah tradisional.
"Pengisian utama FPM@KL 2022 adalah pertandingan permainan tradisional di antara badan beruniform dan juga sektor korporat yang akan dikelolakan oleh Kelab Sukan Tradisional Harmoni.
"Orang ramai pula berpeluang menyertai Permainan Lagenda Rakyat seperti kelereng, kaki hantu, lari dalam guni berkembar, tarik upih atau guni dan terompah gergasi," katanya.
Beliau berkata, turut diadakan adalah Kejohanan Tarik Tali Terbuka Malaysia dan Pertandingan Pocket Bike yang akan membabitkan pelumba terdiri daripada kanak-kanak.
Selain itu katanya, terdapat juga Pertandingan Gasing Pangkah iaitu MyGasing Championship yang membabitkan penyertaan daripada Singapura dan Brunei.
"Bagi memeriahkan lagi penganjuran FPM@KL 2022 dua acara larian akan diadakan iaitu Larian Keluarga Malaysia dan KL Cultural Fun Run and Ride yang boleh mula daftar menerusi laman web www.raceasia.com dengan bayaran tertentu.
"Orang ramai dijemput memeriahkan festival yang diadakan secara percuma ini selepas dua tahun tidak dapat diadakan keranaCOVID-19.
"Saya juga berharap penganjuran festival ini akan dapat menyediakan peluang menjana pendapatan kepada usahawan seni budaya menerusi jualan bazar seni," katanya.
Mesran berkata, majlis perasmian festival itu akan diadakan pada 24 September dan dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Untuk maklumat lanjut mengenai program itu boleh layari www.jkkn.gov.my atau Facebook JKKN.